Bercuti di Singapura


Bergambar di depan Merlion



Bila terkenangkan zaman kecil, saya teringat kembali
nostalgia sewaktu bersekolah di Singapura. Sejak
berpindah di Melaka dan kini menetap di Kuala Lumpur,
setelah bertahun-tahun lamanya meninggalkan kota singa
itu, akhirnya baru-baru ini saya mengambil peluang
untuk bercuti ke Singapura bersama anak dan suami
tercinta.

Percutian yang bermula 14 November lalu selama 4 Hari,
kami rancangkan secara teratur agar tidak terlupa
untuk berkunjung ke Destinasi-destinasi Menarik yang
ada di Singapura. Sebenarnya tidak sukar untuk
berjalan-jalan di sekitar Singapura kerana Sistem
pengangkutannya seperti MRT dan bas sangat sistematik
serta sangat memuaskan. malah maklumat tunjuk arah yang
tepat disemua stesen bas termasuk harga tambang bas
juga memudahkan perjalanan ke mana-mana destinasi
menarik di Singapura cuma harga Pengangkutan awam
disini agak mahal berbanding di Malaysia.


Pemandangan di sekitar Esplanade


Di Esplanade park

Banyak cara yang boleh di pilih untuk ke Singapura.
Anda boleh menaiki Keretapi dari Kuala Lumpur atau
menggunakan kenderaan sendiri untuk ke Singapura.
Bagaimanapun bagi anda yang memiliki budget yang
sederhana, anda digalakkan memilih naik bas atau
anda juga boleh membuat pilihan seperti saya yang
memilih pengangkutan udara ke Singapura yang hanya
mengambil masa perjalanan kira-kira 50 minit.

Dari Lapangan Terbang Changi, kami menaiki teksi ke
tempat penginapan kami di Hotel Copthorne Orchid.
Lengkap dengan segala kemudahan termasuk shuttle
bas percuma untuk ke Orchard road dan harga hotelnya
yang berpatutan membuatkan saya memilih untuk
menginap disini.



Apa yang ada di Singapura? Merlion Park merupakan
destinasi wajib jika berkunjung ke Singapura. Di
sinilah letaknya patung berkepala singa dengan
badan seperti ikan yang dinamakan gabungan dari
ikan duyung dan singa. Apa lagi...Kami juga tidak
mahu melepaskan peluang. Seawal pagi, saya bersama
suami dan anak membeli tiket MRT di stesen Orchard
Road untuk Ke stesen Raffles Place (EW14), dimana
ia merupakan stesen yang terdekat untuk ke Merlion
Park.




Inilah kali pertama kami mencuba Mrt(Keretapi bawah
tanah Singapura). Maklumlah nak rasa pengalaman baru.
Mulanya takut juga sebab tak biasa. Tambahan pula
untuk membeli tiket MRT di sini perlu guna mesin.
Bagaimanapun ia tidak sukar. Malah tidak juga perlu
menunggu lama untuk menaiki MRT kerana MRT yang ada
di Singapura ini lebih banyak dan panjang jadi dapat
memuatkan lebih ramai penumpang meskipun di waktu
yang sibuk.





Sejurus keluar dari stesen Raffles Place, Saya
meneliti peta yang kami bawa bersama. Rupanya kami
perlu berjalan di laluan pejalan kaki menyusuri
sungai Singapura sebelum sampai ke Merlion Park.
Berjalan-jalan di sepanjang sungai ini, saya dapat
melihat jambatan-jambatan yang unik, patung-patung
tembaga yang menceritakan kehidupan Singapura
di zaman dulu dan diseberang jambatan pula ada
beberapa muzium yang boleh dilawati. Salah satunya
Sungainya pun bersih. Memang seronok kalau dapat
menyusuri Sungai Singapura ini dengan bot.

Tidak jauh dari Merlion, terletak Esplanade Park
iaitu taman yang tertua di Singapura. Ia dibina
pada tahun 1943. Kami berhenti rehat seketika
disini sebelum meneruskan perjalanan ke Merlion.
nyaman dan menyegarkan kerana pohon-pohon menghijau
begitu banyak ditaman ini.Sambil berehat kami
bergambar kenangan di di depan Esplanade Theater,
satu lagi destinasi menarik yang mesti dilawati.

Cuaca Singapura yang sama dengan cuaca di negara
kita membuatkan kami cepat letih tapi perasaan
teruja dihati yang tak sabar nak merakamkan
kenangan di Merlion, membuatkan kami menepis rasa
letih kami. Akhirnya kami tiba juga di Merlion Park.



Menjelang tengahari, kami meneruskan perjalanan ke
Bugis Street dengan menaiki MRT ke Stesen Bugis.
Memandangkan perut kami sudah lapar. Hasrat kami
ke Bugis Street ditangguhkan.Sebaliknya Kami mencari
kedai makan di Arab Street kerana disini terdapat
beberapa kedai makanan halal.

Lagi sekali kami berjalan kaki ke Arab Street. Kalau
nak naik bas pun boleh. perkhidmatan beca pun ada
disediakan. Arab Street adalah pusat masyarakat Muslim
di mana dahulu menjadi tempat penjualan utama kitab
suci Al’Quran, sajadah dan tekstil tapi kini ia lebih
menjadi tumpuan kepada penggemar tekstil.

Lawatan kami kemudiannya di teruskan ke Kampong Glam
yang terletak berdekatan dengan Arab Street atau
Jalan Arab. Ia adalah penempatan pertama masyarakat
Melayu dan Arab di bandar ini. Selain masjid Sultan
yang menjadi tarikan pelancong untuk ke sini,
Deretan kedai-kedai kecil yang dicat berwarna-warni
ini juga menarik perhatian pelancong.
Kebanyakan kedai disini menjual Cenderahati, pakaian
dan tekstil.


Deretan kedai yang ada di Kampong Glam



Saya tertarik hati melihat Masjid Sultan. Walaupun
sudah berusia 100 tahun tetapi seni bina masjid ini
masih lagi dijaga rapi.

Pada sebelah petang, kami kembali ke Bugis Street.
Kami masuk ke pasar tradisional bugis, tempat
membeli-belah yang terbesar berlokasi di Singapura.
Banyak juga barang-barang terutamanya Cenderahati, beg
tangan wanita, dompet lelaki dan pakaian wanita
mahupun pakaian lelaki dijual disini. Harga yang
ditawarkan sangat murah. Walaupun ia penuh sesak dengan
ratusan kedai-kedai kecil tapi ia juga menjadi destinasi
kegemaran penduduk negara Singapura sendiri untuk
membeli-belah. Menjelang Malam, pasar Bugis ini akan
bertambah sibuk.


Salah satu pusat membeli-belah di Orchard Road

Orchard Road juga adalah destinasi yang mesti dikunjungi
jika anda ke Sini. Tidak kira waktu siang atau Malam,
Orchard Road akan sentiasa sesak dengan orang. Pelbagai
barangan berjenama dengan fesyen terkini ada dijual disini.
Oleh sebab itu Orchard Road lebih gemar dipenuhi oleh
remaja lelaki dan wanita. Terdapat Lebih 20 puluh buah
gedung membeli-belah terkemuka boleh dikunjungi antaranya,
Paragon dan Wisma Atria.


tengah tunggu tram nak ke Pulau Sentosa


Dalam Tram


Inilah tram ke Pulau Sentosa

Keesokan pagi lawatan kami diteruskan ke satu lagi
destinasi menarik di Singapura iaitu Pulau Sentosa.
Suatu ketika dulu pulau ini dikenali Pulau Belakang Mati.
Ia adalah tempat bersantai yang paling terkenal di
Singapura. Mungkin Pulau Sentosa ini tidak sehebat
Disneyland Hong Kong atau Everland di Korea tapi kami
tetap rileks berada disini. Lebih-lebih lagi selepas
merasai pengalaman melalui jambatan gantung dan melihat
keindahan tiga pantai indah di Pulau Sentosa iaitu
Siloso, Pahlawan dan Tanjung. Kami tidak perlu berjalan
kaki jauh kerana perkhidmatan keretapi percuma ada
disediakan untuk pusing-pusing di Pulau ini.

Kami juga sempatlah melihat pembangunan dan
pengubahsuaian pulau ini yang dijangka lebih
cantik dan meriah pada pertengahan tahun 2010 nanti
bila Universal Studio siap dibina di pulau ini.




Pemandangan di Pantai Siloso


posing depan tram ke Pantai Pahlawan

Untuk ke sini, kami menaiki MRT dari stesen Orhard
Road ke stesen Dhoby Ghaut. kemudian memilih Line Unggu
utk ke Stesen Harbour Front. Selepas itu kami naik pula
Sentosa Ekspress dari tingkat 3 Vivo City untuk sampai
ke Pulau Sentosa dengan bayaran tambang SD3.



Bayaran ini termasuk tiket pergi-balik Sentosa Express
dan bayaran masuk ke Pulau Sentosa. Bayaran tambahan
lain dikenakan sekiranya anda ingin mencuba permainan
seperti memandu luge iaitu sejenis kenderaan kombinasi
antara go-kart dan toboggan atau masuk Underwater world
dan naik sky tower untuk melihat seluruh pulau ini dari
ketinggian 131 meter dari aras laut.



Singapura pun ada Chinatown dan Little india. Apa yang
kami ketahui, di Chinatown begitu banyak barang dijual
dengan tawaran harga yang lebih murah terutamanya sekali
kalau ingin mendapatkan barangan seperti Cenderahati
dan barangan yang diperbuat dari Sutera seperti beg dan
sarung bantal. Malah barangan yang dijual disini
kebanyakkannya diimport dari China dan Thailand.


Kat Chinatown

Saya lihat Suasana persekitaran di sini seakan sama seperti
petaling Street di Malaysia cuma Chinatown disini lebih
menarik dan bersih kerana kedai-kedai lama disini di cat
dengan pelbagai warna-warni yang menampilkan keceriaan.
Kalaulah Petaling Street dijaga kebersihannya seperti
di sini alangkah baiknya...


Jalan-jalan tengok barang...







Sebelum pulang ke Hotel, Kami sekeluarga ke Clarke
Quay untuk menikmati pemandangan malam di pinggir
Sungai Singapura yang dibangunkan menjadi kawasan siar
kaki yang dipenuhi kafe-kafe ala Inggeris, pusat
hiburan, serta Restoran. Selain bersantai, anda boleh
menaiki bot menyusuri sungai Singapura sehingga ke
Merlion Park.



Hari Ketiga, kami melawat pula ke Geylang Serai untuk
melihat perkampungan orang melayu Singapura. Disinilah
baru kami dapat lihat orang-orang melayu sibuk dengan
kegiatan harian masing-masing. sedangkan kalau dibandar
terutamanya di Orchard Road hanya kaum cina saja yang
membanjiri tempat itu. Kami bersiar-siar sehingga ke
Katong. Sesudah itu kami singgah pula ke Little india,
untuk ke Mustaffa Centre yang dikatakan amat popular di
Singapura. Kami dapati Mustaffa Centre ni sama seperti
Mydin di Malaysia. Kami tidak membeli apa-apa pun disini
kerana merasakan harga barang di Malaysia jauh lebih murah.

Setelah 4 hari di Singapura, tibalah masa untuk kami
pulang semula ke tanahair. Sesungguhnya percutian di
Singapura ada keseronokkannya. Fikiran terasa tenang melihat
bandar Singapura yang penuh kemodenan tetapi masih
mengekalkan kehijauan persekitarannya. Meskipun percutian
kami kali ini tidak jauh dari Negara tercinta tetapi
memberi banyak kenangan kepada saya, suami dan anak.

Jalan-jalan di Kota Kinabalu




Inilah kali pertama saya ke Kota Kinabalu, Sabah atau
KK dalam sebutan ringkasnya. Sebelum ini sekadar
melihatnya dari kaca tv sahaja.Memandangkan Suami dan
anak saya pernah ke sini beberapa tahun yang lalu.
kami tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong.

Jauh juga perjalanan hendak ke KK. kira-kira 2 Jam
20 Minit jika dari Kuala Lumpur.

Bandaraya KK sememangnya telah pesat membangun. Mengikut
kata suami saya, KK kini telah jauh banyak berubah dari
dulu. Kebanyakan Pusat membeli-belah di KK juga semakin
banyak dan kini KK sudah mempunyai satu pusat membeli-belah
yang terbesar dikenali 1Borneo. Walaupun tidak lama tetapi
sempat juga saya sekeluarga pusing-pusing dalam pusat
membeli-belah ini.



Tarikan utama kalau ke KK, sudah pastinyalah kerana
Gunung Kinabalunya. Bagaimanapun saya tak berpeluang
mendakinya. Hasrat Berfoto di Taman Kinabalu pun tidak
tercapai kerana perjalanan menuju ke sana mengambil masa
kira-kira 2 jam untuk sampai. jadi kami membantal hasrat
untuk ke sana kerana kesuntukan masa.




Hotel kami menginap terletak tidak jauh dari bandar KK
dan berdekatan dengan Pasar Kraftangan. Pasar ini juga
dikenali dengan Pasar Filipino. Hanya dengan berjalan
kaki 5 minit sahaja sudah sampai ke sini.Di Pasar inilah
anda akan dapat temui pelbagai produk cenderahati hasil
kraftangan penduduk tempatan. Malah bagi penggemar Mutiara
dan Kristal, Disinilah tempatnya. Pelbagai produk berasaskan
Mutiara seperti Rantai,gelang, Brooch dan cincin boleh anda
dapatkan disini. Harganya pula boleh tawar-menawar.Rambang
mata dibuatnya..

Disebelah pasar ini, terdapat pasar ikan Masin dan Pasar
buah yang boleh anda kunjungi.Bagaimanapun kami bercadang
untuk singgah di Pasar ini pada hari akhir sebelum balik ke
Kuala Lumpur.




Kami ke satu lagi destinasi yang mesti dilawati di Sabah
iaitu Jesselton Point. Ia merupakan terminal Feri untuk ke
Tunku abdul Rahman Park yang terdiri dari lima buah pulau
popular iaitu Pulau Gaya, Pulau Manukan, Pulau Mamutik,
Pulau Sapi dan Pulau Sulu.Kami ke sini menaiki bas. Tambang
basnya pun 50 sen je seorang.

Indah sungguh permandangan di sekitar Jeti ini. Udaranya
pun segar dan nyaman. Anda pasti seronok kalau dapat
bersiar-siar di laluan pejalan kaki sepanjang Waterfront
ini.


Sedap...ikan bakar di Waterfront




Pada sebelah malam, Suasana di Bandar KK lebih meriah.
Penduduk tempatan sendiri akan membanjiri Waterfront yang
terletak berdekatan dengan Pasar Kraftangan untuk membeli
Pelbagai barangan harian termasuk menjamu selera.Ia seakan
sama seperti Pasar Malam di Kuala Lumpur cuma bezanya Pasar
ini menjual ikan bakar, udang Bakar dan Sotong Bakar yang
masih segar.Harganya pun murah. Puas hati jugalah bila
dapat menjamu selera ikan bakar dan Sotong Bakar di sini.

Hari berikutnya lawatan kami diteruskan ke Pantai Tanjung
Aru. Ia terletak kira-kira 6 kilometer dari Bandaraya KK.
Sewaktu kami tiba, pantai ini memang dipenuhi orang. Tak
dapat dinafikan,Pantainya memang cantik. Rileks betul
rasanya bersantai di sini. Sebelum balik ke Bandar KK,
kami singgah sebentar di Medan Selera Tanjung Aru untuk
menikmati ABC. Memang Best.Bagaimana nak ke sini? Mudah
sahaja. Anda boleh menaiki bas atau teksi. tapi saya
sekeluarga memilih naik bas kerana tambangnya lebih
murah iaitu RM1.50 Seorang.





Lawatan terakhir kami di KK ialah Pulau Manukan. Saya
memang tak terfikir langsung untuk ke Pulau ini tapi
anak saya beria-ia mengajak.Untuk ke pulau ini kita
perlu menaiki bot laju lebih kurang 20 minit dengan
tambang RM 17 ( termasuk insuran ) dan dikenakan cukai
sebanyak RM 6. Sampai di pulau sekali lagi kita akan
di kenakan ‘island tax’ sebanyak RM3 untuk dewasa
dan 50 sen untuk yang berumur 18 tahun ke bawah.

Masa mula-mula naik bot tu panik juga. Ye lah selama
ni tak pernah naik bot laju pun. Pukulan Ombak memang
kuat waktu itu. Nasib baiklah tak ada yang muntah.
Sebelum sampai ke Pulau Manukan, bot kami berhenti
sebentar di destinasi persinggahan pertama, pulau
Mamutik untuk menurunkan penumpang. Dapat jugalah
kami lihat Pulau Mamutik yang cantik itu walaupun
tanpa menjejakan kaki ke Pulau itu.



Pulau Manukan pun sangat cantik. Kami dapat melihat
beribu-ribu ekor ikan berkeliaran di bawah jeti
kerana airnya cukup jernih. Ada juga beberapa orang
pelancong yang bersnorkeling. Kami sekadar tengok je
lah. Sesudah Merakamkan kenangan di Pulau ini, kami
jalan-jalan pusing pulau pula. Selain sangat sesuai
untuk mandi-manda, anda juga boleh melakukan aktiviti
pantai seperti berkayak. pendek kata, pulau ini lengkap
dengan segala kemudahan termasuk telefon awam.
Hampir dua jam setengah kami bersantai disini sebelum
bertolak pulang ke Bandar KK.

Dalam perjalanan bot kami singgah pula di Pulau Sapi
untuk mengambil penumpang. Dapatlah kami melihat keindahan
pulau itu.

Alhamdulilah pukul 6.00 petang kami tiba semula di Jeti
(Jesselton Point). Keesokan pagi sebelum berangkat pulang
ke Kuala Lumpur, kami singgah sebentar di Pasar ikan untuk
membeli udang kering dan ikan bilis.

Sememangnya KK memiliki keistimewaan dan keunikannya yang
tersendiri. Saya seronok sepanjang berada disini. Tak kan
saya lupa pengalaman menaiki bot laju untuk ke Pulau
Manukan...

Percutian Kali Ke 2 di Hong Kong



Saya langsung tak pernah terfikir untuk ke Hong Kong. Malah
pengetahuan mengenai Hong Kong juga kurang. Sejak terbinanya
Hong Kong Disneyland barulah saya tahu serba sedikit mengenai
Hong Kong namun masih belum terfikir untuk ke Hong Kong.
Pada pertengahan tahun 2007,Saya bersama suami telah
berpeluang ke Hong Kong mengikut anak saya dan Februari 2009
yang lalu,saya sekali lagi berpeluang ke Hong Kong. Tak sangka
2 kali saya telah pergi ke Hong Kong!

Hong Kong sebenarnya mempunyai banyak destinasi untuk dilawati.
Sekali saya ke Hong Kong masih belum puas kerana masih ada
tempat yang tak sempat dilawati tapi kali kedua memang puas...
seronok bercuti sakan di sini.

Dari Airport, kami terus naik bas A21 dengan tambang HKD 33
ke Hotel penginapan kami. Elakkan memilih teksi untuk ke bandar
kerana tambangnya sangat mahal.






Bergambar kenangan di Patung Bruce Lee, Avenue Stars



Tapak tangan Jackie Chan


Pada hari pertama kami memulakan lawatan ke Avenue of Stars.
Ini adalah kali kedua kami ke sini.Lokasi tempat ini yang tidak
jauh dari Hotel kami yang terletak di Kowloon membuatkan kami
lebih senang berjalan kaki sahaja. Jimat belanja sikit.
Avenue of Stars adalah salah satu destinasi menarik di Hong Kong.
Disini selain dapat menikmati pemandangan indah disekitar pulau
Hong Kong, anda boleh merakam gambar disisi bekas tapak tangan
pelakon-pelakon popular Hong Kong seperti Jackie Chan, Andy Lau
dan Anita Mui. Jangan ketinggalan juga bergambar dengan patung
Bruce Lee yang diletakkan di Waterfront ini.
Masa kami tiba disini cuaca berkabus.Suhu pada ketika itu
adalah 26 darjah celsius. Pemandangan yang dilihat memang cukup
indah. Terasa Lapang fikiran untuk seketika...Semakin menjelang
malam,cuaca disini semakin sejuk.

Hari kedua, awal pagi lagi kami bertolak untuk ke Hong Kong
Disneyland. Dari stesen Kowloon,kami menaiki MTR (Subway) ke
Disneyland Resort.Bayaran masuk dikenakan HKD 350 seorang untuk
Dewasa dan HKD 210 untuk kanak-kanak ( 3-11 tahun). Walaupun
terpaksa berjalan jauh di dalam taman tema ini tapi Hati saya
tetap seronok. Lebih-lebih lagi dapat berfoto dengan Mickey Mouse
dan kawan-kawannya yang merupakan watak kartun popular sejak
zaman saya sekolah lagi. Hong Kong Disneyland terbahagi kepada
4 kawasan iaitu Main Street U.S.A., Fantasyland, Adventureland
dan Tomorrowland.















Lawatan berikutnya ialah Ladies' Market di Mongkok. Dari Stesen
Disneyland Resort, kami berhenti di Stesen Lai King dan kemudian
menukar laluan (Tsuen Wan Line) untuk ke Stesen Mongkok. Saya
sekeluarga sampai disini lebih kurang pukul 6.30 petang. Waktu
itu orang ramai sudah mula membanjiri Ladies Market yang terkenal
dengan penjualan beg, t-shirt, jam, pakaian lelaki dan wanita
yang murah. Beberapa Cenderahati seperti beg sutera pun banyak
dijual disini.



Selepas pusing-pusing Ladies Market, kami ke Sai Yeung Choi
Street South pula. Dimana kat sini lebih banyak barangan
elektronik dijual. Sekadar jalan-jalan sahaja tapi tak membeli
pun. Sebenarnya Hong Kong ini banyak tempat Shopping. Dari
Kedai Kecil sampailah ke Pusat membeli-belah terbesar,
Harbour City.




Satu lagi uniknya, Hong Kong ini ialah ia ada Tram dua
tingkat. Harga naik Tram pun tak mahal.Hanya HKD 2 je. Pada
pagi hari ketiga kami di sini, sempat jugalah kami meronda
bandar Hong Kong ini dengan Tram. Bukan semua jalan di
Hong Kong ada Tram. Oleh itu jika anda berminat mencuba
perkhidmatan tram, anda perlu ke Central dengan menaiki MRT
atau Bas yang menuju ke Central.








Destinasi seterusnya ialah ke Ocean Park. Ia merupakan Satu
lagi taman tema popular di Hong Kong iaitu salah sebuah
taman Akuarium yang terbesar di dunia. Untuk ke sini, kami
menaiki Bas No.629 dari Stesen Admiralty di pintu keluar B.
Tambang basnya, HKD 10.60 Seorang. Perjalanan pun tidak lama.
Hanya mengambil masa 40 Minit saja. Bayaran masuk yang
dikenakan HKD 208 Seorang dan HKD 103 untuk kanak-kanak
(11-3 tahun).


Di depan pintu masuk Ocearn Park




















Yang menariknya di Ocean Park ini, kami bukan saja dapat
melihat haiwan-haiwan laut seperti Singa Laut, Dolpin,
rumpai laut dan ikan jerung tapi juga dua Panda besar
yang dinamakan "An-An" dan "Jia-Jia". Disamping itu kami
dapat juga merasai pengalaman menaiki kereta kable( Cable Car)
dengan pemandangan cantik pulau-pulau kecil dan laut yang meghijau.


Lewat petang kami ke Avenue Stars sekali lagi. Kali ini
hendak melihat Symphony of Lights,dimana para pelancong akan
dipertontonkan dengan 44 bangunan disekitar Victoria Harbour
disinari cahaya lampu dan laser. Ia biasanya diadakan setiap
hari bermula jam 8.00 malam. Memang cantik. Sebelum balik ke
bilik hotel, kami bersiar-siar di Jalan Tsim Sha Tsui dan Nathan
Road yang sentiasa sibuk.











Sebelum berangkat pulang ke Malaysia, kami singgah pula di Kowloon
Park yang terletak di belakang Masjid Kowloon. Ia adalah taman yang
terbesar di Kowloon dengan keluasan 13.5 hektar. Taman ini dibina
mengikut gaya tradisi China. Pokok-pokok besar dan banyak bunga-
bungaan memenuhi ruang taman ini. Disini saya juga dapat melihat
pelbagai jenis burung dan tasik yang dipenuhi ikan dan kura-kura.
Taman ini bukan sahaja menjadi tempat berehat dan beriadah
kebanyakkan penduduk hong kong tetapi juga lokasi pilihan untuk
mereka melakukan aktiviti berjogging dan Tai-chi. Menjelang Zohor,
kami bersolat di Masjid Kowloon dan kemudian bersiap-siap untuk ke
Airport.

Percutian di Hong Kong memberi kenangan terindah buat saya
sekeluarga...