5 Hari 4 Malam Jakarta/Bandung



Hari pertama

Penerbangan kami berlepas ke Jakarta jam 6.50 petang dan
tiba disana jam 8 malam iaitu kurang 1 jam dari waktu Malaysia.
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jakarta mengambil masa kira-kira
2 jam. Cadangan kami sejurus tiba di Airport Jakarta ingin menaiki
teksi Blue bird (teksi bermeter) untuk ke tempat penginapan kami,
hotel ibis Mangga Dua tetapi lain yang jadi kerana ketika kami
keluar dari airport, ulat-ulat sudah menunggu di luar. Masing-masing
tawar-menawar. Pusing kami dibuatnya..Sana sini bertanyakan kami
mahu kemana. Ada yang sampai menawarkan 200,000 rupiah untuk ke Hotel.
Mahal tu.. kami cuba mencari teksi bermeter Blue bird tapi tak jumpa.
Akhirnya kami terpaksa memilih naik teksi ke Hotel ibis dengan harga
150,000 rupiah kerana letih banget. Suami pulak masa tu tak berapa sihat.
Sampai dihotel Ibis Mangga dua jam 10.30 malam. selepas check-in
hotel, kami terus tidur.



Hari kedua

Selepas solat subuh, jam 5.15 pagi. Kami turun breakfast. Waktu itu
dah nampak terang walaupun baru jam 6 pagi.Suasana waktu itu
sunyi, tiada kenderaan yang kelihatan. Mungkin hari ini hari
Ahad, mereka lewat keluar rumah. Lagipun kedai-kedai dan pusat
membeli-belah di sini masih belum buka lagi. Pada mulanya
cadangan kami hari itu nak pergi ke Ancol. Dari Hotel kami naik
teksi blue bird untuk ke Ancol tapi pemandu teksi tu kata, Ancol
belum buka lagi pada waktu ini, jam 10 baru buka. kenalah kami
tukar plan. Kami memilih untuk ke Taman Mini Indonesia Indah
dulu lepas tu kalau berkesempatan kami berkunjung ke Ancol pula.
Semasa kami melalui jalan untuk ke Taman Mini, kami melalui jalan
ke Ancol. Dapatlah kami tengok Ancol dari dalam teksi.
Bagaimanapun persekitaran Ancol ketika itu dipenuhi air.

Menurut pemandu teksi itu setiap kali hujan lebat, air sungai
sekeliling Ancol itu akan melimpah.katanya lagi, dari bulan Januari
hingga April, Jakarta mengalami musim hujan hingga boleh
mengakibatkan banjir.

Bergambar di Pasar Pagi Mangga Dua




Perjalanan dari hotel ke Taman Mini Indonesia Indah mengambil
masa kira-kira 1 jam. Kalau di Malaysia, bayaran tol dibayar
oleh pemandu teksi atau termasuk dalam harga pakej sedangkan di
Jakarta, kami sendiri yang kena bayar harga tol berkenaan.
Terkedu juga kami..nasib baik tolnya mahu menerima wang besar,
kalau tidak dimana kami hendak mencari wang kecil.
Setiap tol kami dikenakan bayaran 2, 500 rupiah. manakala
bayaran masuk untuk ke Taman Mini ialah 9, 000 rupiah seorang.

Foto-foto di Taman Mini Indonesia Indah






Di dalam Taman Mini ini terdapat banyak rumah tradisional
masyarakat indonesia. Macam kita kat Malaysia, ada taman mini
Malaysia kat Melaka. Disini pun lebih kurang sama. Taman Mini
seluas 150 hektar ini dibina atas cadangan Ibu Tien Soeharto.
Selain ada rumah-rumah tradisional, Taman ini juga memiliki
tasik yang cantik dan taman tema air. Kami berjalan kaki melawat
setiap rumah. Cuaca yang redup membuatkan kami selesa bersiar-siar
di taman ini. Hampir 2 jam kami berada disini. Sebelum pulang, kami
mencuba pula naik Cable Car sehingga sampai ke pintu masuk taman.
Pemandangan dari atas Cable Car pun memang cukup cantik. Memang
tak menyesal kalau naik Cable Car (Kereta kabel) ini. Sesiapa yang
belum pernah datang ke Jakarta, jangan sekali-kali anda lupa singgah
di Taman Mini yang sangat indah ni.







Indahnya....Pemandangan dari Cable Car







Perjalanan kami kemudiannya diteruskan ke Tanah Abang iaitu pusat
membeli-belah yang popular di Jakarta. Kami bergegas ke sana
segera kerana apa yang kami tahu, Pasar Tanah Abang tutup
pukul lima petang. Kami tidak mahu terlepas peluang ke sana
kerana esok kami akan meneruskan perjalanan ke Bandung pula.
Perjalanan dari Taman Mini ke Tanah Abang pada mulanya lancar
tetapi bila sampai ke kawasan membeli-belah Tanah Abang,
Jalan jadi Macet(Sesak). Di dalam teksi pemandu banyak
berbual dengan kami. Kami faham juga bahasa Indonesia tetapi
ada juga yang pekat tak difahami terpaksa anguk-anguk saja.

Disepanjang jalan kami nampak peminta sedekah jalanan dan
pemuda-pemuda bermain gitar meminta sedekah.tetapi apa boleh
buat kami tak dibenarkan menghulurkan wang simpati kami.
Jalan yang begitu macet membuatkan pemandu teksi menurukan
kami sebelum sampai ke destinasi. katanya berjalan lebih
cepat. Mujurlah dia menurunkan kami tidak jauh dari
Tanah Abang.

Sampai di Tanah Abang, sungguh ramai orang. Kami pergi dari
tingkat ke tingkat untuk mencari barang-barang yang ingin
dibeli. Baju Blouse semuanya sangat murah jika dibandingkan
dengan Malaysia. Kami fikir tak perlu beli banyak barang
sangat kerana kami akan ke Bandung, tentu harganya lebih
murah lagi.

Setelah penat berjalan dan bertanya harga di tiap-tiap
tingkat (lantai), perut kami terasa lapar. Kami singgah
di lantai 6 untuk menjamu selera kerana di tingkat ini
terletaknya Food Court. Memang banyak makanan dijual.
Bagaimanapun agak sukar juga kami hendak memilih makanan
halal kerana tiada loga halal diletakkan dihadapan kedai
masing-masing. Kami nampak wanita bertudung duduk makan
di situlah kami makan.Jam 6 petang, kami pulang ke hotel
dengan menaiki teksi Blue Bird.



Hari ketiga

Seawal 7 pagi lagi, setelah solat dan sarapan pagi kami
keluar berjalan kaki ke Pasar Pagi Mangga dua dan seterusnya
ke ITC Mangga Dua kerana lokasi hotel kami ke Pasar itu
tidak jauh. Hanya kira-kira 15 minit sahaja. Waktu itu cuaca
sedikit sejuk kerana baru lepas hujan. Sementara menanti kedai
dibuka, Kami jalan-jalan di sekitar pusat membeli-belah itu.
Di sini kelihatan terlalu banyak bas-bas lama digunakan dan
kenderaan kecil yang dinamakan bajaj.

Kami sempatlah membeli 3 buah beg tangan dan beberapa helai
tudung di ITC Mangga dua. Terlalu banyak barang dijual disini
hingga pening dibuatnya untuk membuat pilihan. Kalau ikutkan
hati, banyak juga barang yang boleh dibeli tapi apa boleh buat
kami takut jika membeli terlalu banyak barang, tentu sukar
kami nak bawanya ke Bandung. Selepas itu kami balik ke hotel
untuk bersiap-siap ke Bandung.

Untuk ke Bandung, kami perlu menaiki Van Cipaganti. Perhentiannnya
terletak di Mangga Dua Square. Naik keretapi pun boleh. Balik
ke Jakarta nanti kami bercadang naik keretapi pulak. Kami ke
Mangga Square dengan menaiki teksi Blue bird walaupun pusat
membeli-belah itu sebenarnya tak berapa jauh dari hotel kami.


Van Cipaganti ni berhawa dingin dan boleh memuatkan 9 orang.
Harganyanya pun berpatutan 70,000 rupiah seorang. Masa
perjalanan dari Jakarta ke Bandung kira-kira dua jam je.
Sepanjang perjalanan kami dapat melihat suasana di sekitar
Jakarta dan kawasan hijau Bandung. Kami sampai di Bandung jam
4 petang. Masa tu Bandung sedang hujan. Suhu di sini sedikit
sejuk berbanding Jakarta. Kami diturunkan di perhentian
Cipaganti di Bandung. Kemudian kami menaiki teksi Blue Bird
untuk ke Hotel Cemerlang. Sebaik tiba di hotel, kami terus
berehat.

Jam 5.30 petang kami mengatur rancangan untuk ke Pasar Baru
tapi sayangnya kami diberitahu oleh pekerja hotel, Pasar Baru
sudah tutup dan dibuka jam 8.30 pagi hingga jam 5.00 petang
sahaja. Kami terkilan sikit tapi nak buat macam mana,
terpaksalah kami tunda pagi esok.Kami tanya lagi dekat mana
nak makan, katanya makanan di depan hotel, susah nak dapat yang
halal.Masa tu perut dah lapar sangat. Susah juga nak makan di
Indonesia ni, tak macam di Malaysia makanan banyak, senang nak
makan. Mulalah teringatkan Malaysia...


Dengan menaiki Angkutan Kota kami pergi ke Paris Van Java.
Tambang angkutan kota ke Paris Van Java ialah 2,500
rupiah seorang. Angkutan ni melalui jalan Sukajadi dimana
di jalan inilah letaknya Hotel Sukajadi yang sangat
digemari ramai rakyat Malaysia untuk menginap. Best jugak kat
Paris Van Java. Ia adalah pusat membeli-belah terbesar
di Bandung. selepas pusing-pusing dan makan di sini, kami
pulang ke Hotel.








Hari keeempat

Kami bercadang tidur semalam lagi di Bandung kerana
terkilan semalam tak dapat ke Pasar Baru, destinasi
popular membeli -belah di Bandung. Tak lengkaplah rasanya
kalau pergi ke Bandung tanpa berkunjung ke Pasar ini.
Seperti biasa seawal jam 7.30 pagi lagi kami sudah
bersiap-siap untuk ke Pasar Baru dengan menaiki Angkutan
Kota.
Pada fikiran kami biar awal sampai supaya kami mempunyai
banyak masa untuk berjalan-jalan disini. Lagipun kalau
sampai awal pagi, orang tak ramai. Jadi tak perlulah
kami bersesak-sesak dengan orang. Tapi rupanya ramainya
orang sudah berlegar-legar di pusat membeli-belah itu
ketika kami tiba.

Pasar Baru ini mempunyai 7 tingkat. Tak dinafikan memang
terlalu banyak barang-barang dijual disini. Beg tangan,
Baju Blouse,kebaya, barang perhiasan wanita termasuk
pakaian muslimah dan telekung.Kawasan disini pun besar
juga. Tapi yang tak bestnya, kami sering diikut oleh
penjual-penjual jalanan. Ada yang menjual air, makanan
dan cenderahati hingga mengganggu tumpuan kami. Ada
ketikanya kami menjadi tension juga. Ingatkan kat
tingkat bawah ramai penjual jalanan tapi ditingkat-
tingkat lain pun sama. Kesian juga kat dia orang.


Sekitar Pasar Baru



Antara yang sempat kami borong semasa di sini Telekung,
Blouse , Baju Batik dan beberapa lagi barangan termasuk
cenderahati untuk dibawa pulang.Jam 1.00 petang kami
balik semula ke Hotel untuk bersolat dan berehat.
Pada sebelah petang, kira-kira jam 3 petang, kami
keluar semula. Hasrat kami untuk menjengah Rumah Mode
dan beberapa Factory Outlet yang dikatakan menjual
barangan berjenama dengan harga murah. Di rumah Mode
kami sekadar melihat pakaian-pakaian yang ada dijual
disini kerana harganya mahal. Antara Outlet yang
sempat kami singgah, Heritage di Jalan Riau ,
Victoria, Jetset ,episode, Blossom, dan up Town
di jalan Jl Ir H Juanda. Anak saya membeli 2 helai
t-shirt yang murah di FO up Town.

Hari kelima
Selepas selesai makan pagi, kami bertolak ke stesen
keretapi untuk ke Jakarta semula. Kami memilih
untuk menaiki keretapi Agrogede dengan bayaran
70,000 rupiah seorang. Keretapi kami bertolak dari
Bandung jam 7.30 pagi dan tiba di Jakarta jam 10.30
pagi iaitu 3 jam masa perjalanannya. Perjalanan
dengan keretapi memang lewat sedikit tapi kami puas
hati kerana pemandangan berbukit bukau yang
indah termasuk suasana perkampungan masyarakat
Bandung. Sejurus tiba di stesen keretapi Gambir,
kami menaiki bas Damri untuk ke lapangan terbang.
Harga yang dikenakan hanya 20, 000 rupiah. Murah
berbanding jika kami menaiki teksi.

Sungguh berbeza itulah yang dapat kami katakan
selepas kami pulang ke Malaysia. Jakarta dan Bandung
jauh lebih sibuk dari Malaysia. Tak kan kami dapat lupakan
pengalaman menaiki Angkutan Kota yang terlalu 'Adventure'.

Sayang sekali sepanjang berada disini kami tidak sempat ke
Tangkuban Prahu yang menjadi destinasi popular Bandung.
Bagaimanapun seandainya berpeluang lagi ke sini, kami tak akan
melepaskan peluang untuk ke Tangkuban Prahu dan Ancol di Jakarta.

Info
- Negara yang ramai rakyat, ramai juga peminta sedekahnya
- Banyak pengangkutan lama dan buruk digunakan seperti Bajai
dan Angkutan Kota
- Naik teksi (Tol kena bayar sendiri)
- Kedai makanan halal dan tak halal bercampur.
- Jalan di Bandar sempit, berlopak-lopak dan rumah-rumah
haram banyak dalam bandar.

Bercuti di Singapura


Bergambar di depan Merlion



Bila terkenangkan zaman kecil, saya teringat kembali
nostalgia sewaktu bersekolah di Singapura. Sejak
berpindah di Melaka dan kini menetap di Kuala Lumpur,
setelah bertahun-tahun lamanya meninggalkan kota singa
itu, akhirnya baru-baru ini saya mengambil peluang
untuk bercuti ke Singapura bersama anak dan suami
tercinta.

Percutian yang bermula 14 November lalu selama 4 Hari,
kami rancangkan secara teratur agar tidak terlupa
untuk berkunjung ke Destinasi-destinasi Menarik yang
ada di Singapura. Sebenarnya tidak sukar untuk
berjalan-jalan di sekitar Singapura kerana Sistem
pengangkutannya seperti MRT dan bas sangat sistematik
serta sangat memuaskan. malah maklumat tunjuk arah yang
tepat disemua stesen bas termasuk harga tambang bas
juga memudahkan perjalanan ke mana-mana destinasi
menarik di Singapura cuma harga Pengangkutan awam
disini agak mahal berbanding di Malaysia.


Pemandangan di sekitar Esplanade


Di Esplanade park

Banyak cara yang boleh di pilih untuk ke Singapura.
Anda boleh menaiki Keretapi dari Kuala Lumpur atau
menggunakan kenderaan sendiri untuk ke Singapura.
Bagaimanapun bagi anda yang memiliki budget yang
sederhana, anda digalakkan memilih naik bas atau
anda juga boleh membuat pilihan seperti saya yang
memilih pengangkutan udara ke Singapura yang hanya
mengambil masa perjalanan kira-kira 50 minit.

Dari Lapangan Terbang Changi, kami menaiki teksi ke
tempat penginapan kami di Hotel Copthorne Orchid.
Lengkap dengan segala kemudahan termasuk shuttle
bas percuma untuk ke Orchard road dan harga hotelnya
yang berpatutan membuatkan saya memilih untuk
menginap disini.



Apa yang ada di Singapura? Merlion Park merupakan
destinasi wajib jika berkunjung ke Singapura. Di
sinilah letaknya patung berkepala singa dengan
badan seperti ikan yang dinamakan gabungan dari
ikan duyung dan singa. Apa lagi...Kami juga tidak
mahu melepaskan peluang. Seawal pagi, saya bersama
suami dan anak membeli tiket MRT di stesen Orchard
Road untuk Ke stesen Raffles Place (EW14), dimana
ia merupakan stesen yang terdekat untuk ke Merlion
Park.




Inilah kali pertama kami mencuba Mrt(Keretapi bawah
tanah Singapura). Maklumlah nak rasa pengalaman baru.
Mulanya takut juga sebab tak biasa. Tambahan pula
untuk membeli tiket MRT di sini perlu guna mesin.
Bagaimanapun ia tidak sukar. Malah tidak juga perlu
menunggu lama untuk menaiki MRT kerana MRT yang ada
di Singapura ini lebih banyak dan panjang jadi dapat
memuatkan lebih ramai penumpang meskipun di waktu
yang sibuk.





Sejurus keluar dari stesen Raffles Place, Saya
meneliti peta yang kami bawa bersama. Rupanya kami
perlu berjalan di laluan pejalan kaki menyusuri
sungai Singapura sebelum sampai ke Merlion Park.
Berjalan-jalan di sepanjang sungai ini, saya dapat
melihat jambatan-jambatan yang unik, patung-patung
tembaga yang menceritakan kehidupan Singapura
di zaman dulu dan diseberang jambatan pula ada
beberapa muzium yang boleh dilawati. Salah satunya
Sungainya pun bersih. Memang seronok kalau dapat
menyusuri Sungai Singapura ini dengan bot.

Tidak jauh dari Merlion, terletak Esplanade Park
iaitu taman yang tertua di Singapura. Ia dibina
pada tahun 1943. Kami berhenti rehat seketika
disini sebelum meneruskan perjalanan ke Merlion.
nyaman dan menyegarkan kerana pohon-pohon menghijau
begitu banyak ditaman ini.Sambil berehat kami
bergambar kenangan di di depan Esplanade Theater,
satu lagi destinasi menarik yang mesti dilawati.

Cuaca Singapura yang sama dengan cuaca di negara
kita membuatkan kami cepat letih tapi perasaan
teruja dihati yang tak sabar nak merakamkan
kenangan di Merlion, membuatkan kami menepis rasa
letih kami. Akhirnya kami tiba juga di Merlion Park.



Menjelang tengahari, kami meneruskan perjalanan ke
Bugis Street dengan menaiki MRT ke Stesen Bugis.
Memandangkan perut kami sudah lapar. Hasrat kami
ke Bugis Street ditangguhkan.Sebaliknya Kami mencari
kedai makan di Arab Street kerana disini terdapat
beberapa kedai makanan halal.

Lagi sekali kami berjalan kaki ke Arab Street. Kalau
nak naik bas pun boleh. perkhidmatan beca pun ada
disediakan. Arab Street adalah pusat masyarakat Muslim
di mana dahulu menjadi tempat penjualan utama kitab
suci Al’Quran, sajadah dan tekstil tapi kini ia lebih
menjadi tumpuan kepada penggemar tekstil.

Lawatan kami kemudiannya di teruskan ke Kampong Glam
yang terletak berdekatan dengan Arab Street atau
Jalan Arab. Ia adalah penempatan pertama masyarakat
Melayu dan Arab di bandar ini. Selain masjid Sultan
yang menjadi tarikan pelancong untuk ke sini,
Deretan kedai-kedai kecil yang dicat berwarna-warni
ini juga menarik perhatian pelancong.
Kebanyakan kedai disini menjual Cenderahati, pakaian
dan tekstil.


Deretan kedai yang ada di Kampong Glam



Saya tertarik hati melihat Masjid Sultan. Walaupun
sudah berusia 100 tahun tetapi seni bina masjid ini
masih lagi dijaga rapi.

Pada sebelah petang, kami kembali ke Bugis Street.
Kami masuk ke pasar tradisional bugis, tempat
membeli-belah yang terbesar berlokasi di Singapura.
Banyak juga barang-barang terutamanya Cenderahati, beg
tangan wanita, dompet lelaki dan pakaian wanita
mahupun pakaian lelaki dijual disini. Harga yang
ditawarkan sangat murah. Walaupun ia penuh sesak dengan
ratusan kedai-kedai kecil tapi ia juga menjadi destinasi
kegemaran penduduk negara Singapura sendiri untuk
membeli-belah. Menjelang Malam, pasar Bugis ini akan
bertambah sibuk.


Salah satu pusat membeli-belah di Orchard Road

Orchard Road juga adalah destinasi yang mesti dikunjungi
jika anda ke Sini. Tidak kira waktu siang atau Malam,
Orchard Road akan sentiasa sesak dengan orang. Pelbagai
barangan berjenama dengan fesyen terkini ada dijual disini.
Oleh sebab itu Orchard Road lebih gemar dipenuhi oleh
remaja lelaki dan wanita. Terdapat Lebih 20 puluh buah
gedung membeli-belah terkemuka boleh dikunjungi antaranya,
Paragon dan Wisma Atria.


tengah tunggu tram nak ke Pulau Sentosa


Dalam Tram


Inilah tram ke Pulau Sentosa

Keesokan pagi lawatan kami diteruskan ke satu lagi
destinasi menarik di Singapura iaitu Pulau Sentosa.
Suatu ketika dulu pulau ini dikenali Pulau Belakang Mati.
Ia adalah tempat bersantai yang paling terkenal di
Singapura. Mungkin Pulau Sentosa ini tidak sehebat
Disneyland Hong Kong atau Everland di Korea tapi kami
tetap rileks berada disini. Lebih-lebih lagi selepas
merasai pengalaman melalui jambatan gantung dan melihat
keindahan tiga pantai indah di Pulau Sentosa iaitu
Siloso, Pahlawan dan Tanjung. Kami tidak perlu berjalan
kaki jauh kerana perkhidmatan keretapi percuma ada
disediakan untuk pusing-pusing di Pulau ini.

Kami juga sempatlah melihat pembangunan dan
pengubahsuaian pulau ini yang dijangka lebih
cantik dan meriah pada pertengahan tahun 2010 nanti
bila Universal Studio siap dibina di pulau ini.




Pemandangan di Pantai Siloso


posing depan tram ke Pantai Pahlawan

Untuk ke sini, kami menaiki MRT dari stesen Orhard
Road ke stesen Dhoby Ghaut. kemudian memilih Line Unggu
utk ke Stesen Harbour Front. Selepas itu kami naik pula
Sentosa Ekspress dari tingkat 3 Vivo City untuk sampai
ke Pulau Sentosa dengan bayaran tambang SD3.



Bayaran ini termasuk tiket pergi-balik Sentosa Express
dan bayaran masuk ke Pulau Sentosa. Bayaran tambahan
lain dikenakan sekiranya anda ingin mencuba permainan
seperti memandu luge iaitu sejenis kenderaan kombinasi
antara go-kart dan toboggan atau masuk Underwater world
dan naik sky tower untuk melihat seluruh pulau ini dari
ketinggian 131 meter dari aras laut.



Singapura pun ada Chinatown dan Little india. Apa yang
kami ketahui, di Chinatown begitu banyak barang dijual
dengan tawaran harga yang lebih murah terutamanya sekali
kalau ingin mendapatkan barangan seperti Cenderahati
dan barangan yang diperbuat dari Sutera seperti beg dan
sarung bantal. Malah barangan yang dijual disini
kebanyakkannya diimport dari China dan Thailand.


Kat Chinatown

Saya lihat Suasana persekitaran di sini seakan sama seperti
petaling Street di Malaysia cuma Chinatown disini lebih
menarik dan bersih kerana kedai-kedai lama disini di cat
dengan pelbagai warna-warni yang menampilkan keceriaan.
Kalaulah Petaling Street dijaga kebersihannya seperti
di sini alangkah baiknya...


Jalan-jalan tengok barang...







Sebelum pulang ke Hotel, Kami sekeluarga ke Clarke
Quay untuk menikmati pemandangan malam di pinggir
Sungai Singapura yang dibangunkan menjadi kawasan siar
kaki yang dipenuhi kafe-kafe ala Inggeris, pusat
hiburan, serta Restoran. Selain bersantai, anda boleh
menaiki bot menyusuri sungai Singapura sehingga ke
Merlion Park.



Hari Ketiga, kami melawat pula ke Geylang Serai untuk
melihat perkampungan orang melayu Singapura. Disinilah
baru kami dapat lihat orang-orang melayu sibuk dengan
kegiatan harian masing-masing. sedangkan kalau dibandar
terutamanya di Orchard Road hanya kaum cina saja yang
membanjiri tempat itu. Kami bersiar-siar sehingga ke
Katong. Sesudah itu kami singgah pula ke Little india,
untuk ke Mustaffa Centre yang dikatakan amat popular di
Singapura. Kami dapati Mustaffa Centre ni sama seperti
Mydin di Malaysia. Kami tidak membeli apa-apa pun disini
kerana merasakan harga barang di Malaysia jauh lebih murah.

Setelah 4 hari di Singapura, tibalah masa untuk kami
pulang semula ke tanahair. Sesungguhnya percutian di
Singapura ada keseronokkannya. Fikiran terasa tenang melihat
bandar Singapura yang penuh kemodenan tetapi masih
mengekalkan kehijauan persekitarannya. Meskipun percutian
kami kali ini tidak jauh dari Negara tercinta tetapi
memberi banyak kenangan kepada saya, suami dan anak.

Jalan-jalan di Kota Kinabalu




Inilah kali pertama saya ke Kota Kinabalu, Sabah atau
KK dalam sebutan ringkasnya. Sebelum ini sekadar
melihatnya dari kaca tv sahaja.Memandangkan Suami dan
anak saya pernah ke sini beberapa tahun yang lalu.
kami tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong.

Jauh juga perjalanan hendak ke KK. kira-kira 2 Jam
20 Minit jika dari Kuala Lumpur.

Bandaraya KK sememangnya telah pesat membangun. Mengikut
kata suami saya, KK kini telah jauh banyak berubah dari
dulu. Kebanyakan Pusat membeli-belah di KK juga semakin
banyak dan kini KK sudah mempunyai satu pusat membeli-belah
yang terbesar dikenali 1Borneo. Walaupun tidak lama tetapi
sempat juga saya sekeluarga pusing-pusing dalam pusat
membeli-belah ini.



Tarikan utama kalau ke KK, sudah pastinyalah kerana
Gunung Kinabalunya. Bagaimanapun saya tak berpeluang
mendakinya. Hasrat Berfoto di Taman Kinabalu pun tidak
tercapai kerana perjalanan menuju ke sana mengambil masa
kira-kira 2 jam untuk sampai. jadi kami membantal hasrat
untuk ke sana kerana kesuntukan masa.




Hotel kami menginap terletak tidak jauh dari bandar KK
dan berdekatan dengan Pasar Kraftangan. Pasar ini juga
dikenali dengan Pasar Filipino. Hanya dengan berjalan
kaki 5 minit sahaja sudah sampai ke sini.Di Pasar inilah
anda akan dapat temui pelbagai produk cenderahati hasil
kraftangan penduduk tempatan. Malah bagi penggemar Mutiara
dan Kristal, Disinilah tempatnya. Pelbagai produk berasaskan
Mutiara seperti Rantai,gelang, Brooch dan cincin boleh anda
dapatkan disini. Harganya pula boleh tawar-menawar.Rambang
mata dibuatnya..

Disebelah pasar ini, terdapat pasar ikan Masin dan Pasar
buah yang boleh anda kunjungi.Bagaimanapun kami bercadang
untuk singgah di Pasar ini pada hari akhir sebelum balik ke
Kuala Lumpur.




Kami ke satu lagi destinasi yang mesti dilawati di Sabah
iaitu Jesselton Point. Ia merupakan terminal Feri untuk ke
Tunku abdul Rahman Park yang terdiri dari lima buah pulau
popular iaitu Pulau Gaya, Pulau Manukan, Pulau Mamutik,
Pulau Sapi dan Pulau Sulu.Kami ke sini menaiki bas. Tambang
basnya pun 50 sen je seorang.

Indah sungguh permandangan di sekitar Jeti ini. Udaranya
pun segar dan nyaman. Anda pasti seronok kalau dapat
bersiar-siar di laluan pejalan kaki sepanjang Waterfront
ini.


Sedap...ikan bakar di Waterfront




Pada sebelah malam, Suasana di Bandar KK lebih meriah.
Penduduk tempatan sendiri akan membanjiri Waterfront yang
terletak berdekatan dengan Pasar Kraftangan untuk membeli
Pelbagai barangan harian termasuk menjamu selera.Ia seakan
sama seperti Pasar Malam di Kuala Lumpur cuma bezanya Pasar
ini menjual ikan bakar, udang Bakar dan Sotong Bakar yang
masih segar.Harganya pun murah. Puas hati jugalah bila
dapat menjamu selera ikan bakar dan Sotong Bakar di sini.

Hari berikutnya lawatan kami diteruskan ke Pantai Tanjung
Aru. Ia terletak kira-kira 6 kilometer dari Bandaraya KK.
Sewaktu kami tiba, pantai ini memang dipenuhi orang. Tak
dapat dinafikan,Pantainya memang cantik. Rileks betul
rasanya bersantai di sini. Sebelum balik ke Bandar KK,
kami singgah sebentar di Medan Selera Tanjung Aru untuk
menikmati ABC. Memang Best.Bagaimana nak ke sini? Mudah
sahaja. Anda boleh menaiki bas atau teksi. tapi saya
sekeluarga memilih naik bas kerana tambangnya lebih
murah iaitu RM1.50 Seorang.





Lawatan terakhir kami di KK ialah Pulau Manukan. Saya
memang tak terfikir langsung untuk ke Pulau ini tapi
anak saya beria-ia mengajak.Untuk ke pulau ini kita
perlu menaiki bot laju lebih kurang 20 minit dengan
tambang RM 17 ( termasuk insuran ) dan dikenakan cukai
sebanyak RM 6. Sampai di pulau sekali lagi kita akan
di kenakan ‘island tax’ sebanyak RM3 untuk dewasa
dan 50 sen untuk yang berumur 18 tahun ke bawah.

Masa mula-mula naik bot tu panik juga. Ye lah selama
ni tak pernah naik bot laju pun. Pukulan Ombak memang
kuat waktu itu. Nasib baiklah tak ada yang muntah.
Sebelum sampai ke Pulau Manukan, bot kami berhenti
sebentar di destinasi persinggahan pertama, pulau
Mamutik untuk menurunkan penumpang. Dapat jugalah
kami lihat Pulau Mamutik yang cantik itu walaupun
tanpa menjejakan kaki ke Pulau itu.



Pulau Manukan pun sangat cantik. Kami dapat melihat
beribu-ribu ekor ikan berkeliaran di bawah jeti
kerana airnya cukup jernih. Ada juga beberapa orang
pelancong yang bersnorkeling. Kami sekadar tengok je
lah. Sesudah Merakamkan kenangan di Pulau ini, kami
jalan-jalan pusing pulau pula. Selain sangat sesuai
untuk mandi-manda, anda juga boleh melakukan aktiviti
pantai seperti berkayak. pendek kata, pulau ini lengkap
dengan segala kemudahan termasuk telefon awam.
Hampir dua jam setengah kami bersantai disini sebelum
bertolak pulang ke Bandar KK.

Dalam perjalanan bot kami singgah pula di Pulau Sapi
untuk mengambil penumpang. Dapatlah kami melihat keindahan
pulau itu.

Alhamdulilah pukul 6.00 petang kami tiba semula di Jeti
(Jesselton Point). Keesokan pagi sebelum berangkat pulang
ke Kuala Lumpur, kami singgah sebentar di Pasar ikan untuk
membeli udang kering dan ikan bilis.

Sememangnya KK memiliki keistimewaan dan keunikannya yang
tersendiri. Saya seronok sepanjang berada disini. Tak kan
saya lupa pengalaman menaiki bot laju untuk ke Pulau
Manukan...